Sumber Terbuka Untuk Microsoft Vista
 

Perisian Perlu Dalam Windows Vista Anda

[ Kembali ]

Artikel ini di Internet
http://www.harisfazillah.info/

Artikel ini mengenai applikasi yang perlu anda pasang di dalam komputer anda sama ada anda menggunakan Windows XP atau Windows Vista. Applikasi-applikasi ini mempunyai perlesenan yang bebas, percuma dan sumber terbuka. Untuk versi ini penambahan applikasi Dia, OpenWorkBench, Zotero dan SeaMonkey.

Ini bermaksud ia boleh disalin seberapa banyak yang diperlukan, disebarkan kepada ramai dan applikasi sumber terbuka boleh digunakan pada sebuah atau lebih komputer tanpa sebarang masalah atau dihadkan oleh perlesenan.

Malah applikasi-applikasi ini boleh sebarkan kepada orang lain melalui CD dan Internet. Perlesenan sumber terbuka membenarkan ia. Sila rujuk http://www.opensource.org/ untuk keterangan lanjut.

Aplikasi ini boleh menjadi pengganti kepada Microsoft Office, Internet Explorer, Adobe Photoshop, Micromedia Dreamweaver, Adobe Acrobat, Winzip dan pelbagai lagi. Bagi pengguna komputer Windows Vista yang mahu mengurangkan kos perlesenan, inilah peluang anda untuk berjimat.

Penjimatan ini juga untuk penguasa cyber cafe, penggunaan di pejabat dan mana-mana tempat yang perlu berjimat daripada segi pembelian lesen. Anda mungkin hanya perlu membayar lesen Windows Vista dan untuk applikasi yang lain anda boleh menggunakan applikasi sumber terbuka.

Untuk artikel ini akan disenaraikan beberapa applikasi yang dirasakan sesuai untuk Windows Vista anda.

OpenOffice.org


Ini adalah applikasi produktiviti canggih yang mengandungi applikasi seperti pemprosesan perkataan (Word Processor), laman lebaran (spreadsheet), paparan persembahan (presentation slide show), membuat muka laman (Webpage authoring) dan pelbagai.

Ia merupakan pengganti Microsoft Office yang terbaik. Dengan lesen yang bebas dan percuma, anda pasti tidak akan melepaskannya.

Muat turun di http://www.openoffice.org/

Artikel lain http://hafnie.blogspot.com/2006/11/openoffice.html

Mozilla Firefox


Banyak telah diperkatakan tentang kelemahan Internet Explorer, pelayar Internet yang disekalikan dengan Windows XP, sehingga menyebabkan komputer diseluruh dunia terdedah dengan pelbagai serangan virus dan trojan. Sudah sampai masanya pengguna komputer dengan Windows Vista menukarkan penggunaan pelayar Internet (Internet Browser) kepada yang lebih baik dan selamat. Gunakan Firefox yang boleh dimuat turun di http://www.mozilla.org/

Artikel-artikel tentang Firefox

http://www.wanita.us/hapuskan-ie.php
http://www.wanita.us/firefox.php

Untuk muat turun pelbagai penambah baik fungsi Firefox (extension) di

https://addons.mozilla.org/extensions/

Antara "extension' yang menarik adalah "FasterFox" untuk melajukan lagi capaian dan "DownThemAll!" untuk melajukan muat turun fail-fail dan perisian.

Zotero


Zotero merupakan extensions Firefox yang baik sebagai applikasi untuk tujuan penyelidikan, simpanan dan susunan maklumat yang didapatkan Internet. Sesebuah muka laman boleh disimpan dalam Zotero dan dibuka semula tanpa talian Internet. Lawat Zotero untuk muat turun dan keterangan lanjut. Firefox diperlukan.

http://www.zotero.org/

GIMP


Applikasi ini digunakan untuk manipulasi imej yang boleh disimpan dalam pelbagai format imej seperti PNG, GIF, JPG, BMP an pelbagai. GIMP boleh menggantikan Adobe Photoshop dan ia mempunyai pelbagai fungsi yang menarik untuk digunakan pakai.

Anda boleh mencubanya dengan muat turun untuk Windows XP di http://www.gimp.org/

Pastikan anda muat turun dua pakej perisian GIMP dan GTK+ yang saling memerlukan antara satu sama lain.

Biasakan diri anda untuk menyimpan fail-fail grafik dalam format PNG. Ia adalah pilihan yang terbuka tanpa tuntutan bayaran penggunaan.

OpenWorkBench


Bagi anda yang mencari pengganti kepada Micrsoft Project, Open WorkBench merupakan pilihan terdekat. Dibina khusus untuk Windows, pelbagai fungsi yang perlu bagi anda yang sedang mengendalikan projek dan memerlukan applikasi yang memboleh membantu dalam perancangan dan pengurusan projek.

Lawat dan muat turun OpenWorkBench di

http://www.openworkbench.org/

NVU


Bagi anda yang minat untuk membina tapak laman. NVU adalah perisian khusus untuk membuat muka laman sama ada dalam format HTML atau XML. Perisian yang mudah dan berkonsepkan what-you-see-is-what-you-ge (WYSIWYG ) maka ia memudahkan usaha membuat muka laman tanpa perlu mempelajari HTML dan ia boleh menjadi pengganti kepada Micromedia Dreamweaver.

NVU turut dilengkapkan dengan pengurusan tapak FTP yang bermaksud HTML yang anda buat bleh terus dimasukkan ke komputer pelayan web, Style sheet editor (CSS), ruang kerja cara tab dan pelbagai lagi fungsi yang anda harapkan daripada perisian sebegini.

Yang penting adalah cara bagaimana format fail-fail anda disimpan. Berbanding dengan perisian yang lain. NVU mengambil prinsip fail-fail disimpan dalam format yang ringkas dan menjadikan saiz fail sekecil yang boleh. Disamping itu juga ia memastikan format yang digunakan diterima pakai oleh pelbagai pelayar Internet. Bagi pembina laman, fail hasil NVU adalah lebih mudah diterima untuk index oleh engin pencari seperti Google.

Muat turun NVU di http://www.nvu.com/

7-Zip


Bagi anda yang biasa menggunakan perisian Winzip maka 7-Zip merupakan perisian gantian yang percuma dan setanding dengan Winzip. Winzip adalah shareware, bermaksud selepas masa tertentu anda perlu membayar harga lesen untuk terus menggunakannya. Maka 7-Zip menjadi pilihan kerana sebagai perisian sumber terbuka ia bebas dan percuma untuk digunakan.

Ia menyokong pelbagai jenis format pemampatan dan pengumpulan fail seperti 7zip, ZIP, CAB, RAR, ARJ, GZIP, BZIP2, TAR, CPIO, RPM and DEB. Malah penggunaan format 7zip pemampatan boleh mencapai lebih 45 peratus lebih baik berbanding dalam format zip. Untuk muat turun sila lawat laman

http://www.7-zip.org/

PDFCreator


Anda boleh menggunakan perisian PDFCreator ini untuk menyimpan pelbagai dokumen daripada pelbagai perisian Windows dalam bentuk PDF secara terus daripada perisian tersebut. Ini membolehkan hasilan perisian dapat dikongsikan kepada ramai pengguna dengan format PDF tanpa perlu pengguna mempunyai perisian Windows yang digunakan untuk menghasilkan hasilan tersebut. Fail PDF (Portable Document Format) adalah format yang standard dan utama dalam penerbitan secara elektronik.

PDFCreator adalah perisian yang mudah dan percuma berbanding dengan perisian lesen perlu beli seperti Adobe Acrobat. Apabila dipasang, pengguna hanya perlu memilih "Print" seperti untuk mencetak dokumen, daripada mana-mana perisian dan memilih "PDFCreator Printer" daripada senarai pencetak. Klik OK, kemudian save dan masukkan nama fail untuk PDF itu. Semudah itu. Untuk muat turun sila lawat

http://sector7g.wurzel6.de/pdfcreator/index_en.htm

ClamWin


ClamWin merupakan anti virus dengan perlesenan sumber terbuka. Walaupun pengesanan secara masa kini (real-time) belum lagi diadakan namun dengan pengesanan secara berjadual boleh dijalankan. Ia mampu mengesan dan menghapuskan virus dan trojan seperti perisian berlesen berbayar. Lawat lamannya di

http://www.clamwin.com/

Spybot Search and Destroy


Akibat kelemahan Internet Explorer maka pelbagai Adware dan spyware boleh memasuki Windows XP anda. Perisian Spybot Search and Destroy merupakan perisian khusus bagi mengesan perisian sebegini dan menghapuskannya. Perisian sebegini menjadi perisian gandingan bersama anti virus. Lawat laman

http://www.spybot.info/

Dia


Bagi anda yang mencari applikasi untuk membina gambar rajah teknikal atau carta aliran, applikasi ini adalah yang paling sesuai. Ia umpama applikasi Visio dan ini gantinya. Sila lawat

http://www.gnome.org/projects/dia/

SeaMonkey


SeaMonkey adalah perisian gabungan pelayar Internet, Email, membuat muka laman, IRC dan Buku Alamat. Semua applikasi dalam satu. Ini sesuai untuk organisasi yang perlu menyediakan aplikasi pelbagai, dengan hanya satu pemasangan SeaMonkey dapat semua keperluan. Sila Lawat

http://www.mozilla.org/projects/seamonkey/

Sokoban YASC


Permainan mencabar minda ini sesuai untuk waktu-waktu berehat daripada tekanan kerja dan belajar. Ia diasaskan oleh Hiroyuki Imabayashi seorang pengatur cara Jepun. Sokoban bermaksud penjaga gudang.

Matlamat permainan ini adalah menyusun semula kotak-kotak pada kedudukan yang dikehendaki di dalam gudang. Nampak mudah namun terdapat beberapa had yang perlu dipatuhi. Permainan ini hanya boleh menolak kotak, hanya boleh menolak satu kotak dalam satu masa dan tidak boleh menembusi kotak atau dinding. Ia pasti menyeronokkan.

Lawat laman Sokoban YASC di http://www.sourceforge.net/projects/sokobanyasc/

Battle for Wesnoth


Permainan berbentuk strategi mengikut giliran mempunyai tema fantasi. Ia mempunyai beberapa kempen yang perlu diikuti. Dengan pelbagai watak yang boleh diupah setiap satu mempunyai kebolehan dan kelemahan masing-masing maka permainan ini pasti melekakan bagi mereka yang meminati permainan sebegini.

Jika anda berminat anda boleh menyertakan rakan-rakan secara talian malah menyertai pertandingan yang diadakan oleh tapak laman permainan ini.

Lawat http://www.wesnoth.org/ untuk muat turun permainan.

Bzflag


Bzflag merupakan permainan dalam rangkaian yang melibatkan peperangan kereta kebal. Dengan keadaan muka bentuk bumi tersendiri maka adalah satu yang menarik berlawan sesama rakan dalam rakaian LAN. Jika mempunyai komputer dengan grafik kad canggih dan memori yang tinggi, permainan boleh diadakan dalam keadaan seperti benar dengan halangan seperti pokok dan bukit. Semuanya boleh dimuat turun di

http://www.bzflag.org/


The OpenCD Project



Projek ini mengumpulkan hampir semua perisian yang disenaraikan dalam artikel ini dalam bentuk CD. Dengan pelayarnya sendiri anda boleh membaca penerangan dan melihat imej skrin setiap perisian dalam CD tersebut sebelum anda memasangnya.

Ada terdapat beberapa lagi applikasi menarik tidak dinyatakan dalam artikel ini dan anda boleh mecubanya. Antaranya adalah Audacity untuk manipulasi audio http://audacity.sourceforge.net/ , Celestia bagi mereka yang berminat dengan astronomi http://www.shatters.net/celestia/ dan pelbagai lagi yang disenaraikan di

http://www.theopencd.org/programs

Muat turun fail ISO CD OpenCD Project di

http://www.theopencd.org/

Ingin dimaklumkan fail ISO tidak boleh dibakar secara data files. Anda perlu memilih "Burn CD Image" kerana fail ISO ini adalah imej kepada CD. Cara pembakarannya adalah berlainan.

Sebagai tanda sokongan, bagi anda yang mahu menyumbang boleh melawat laman perisian-perisian yang anda gunakan. Menyumbang walau sedikit wang boleh menjadi galakan kepada mereka untuk meneruskan usaha dan membayar kos komputer pelayan dan pelbagai lagi kos yang mereka tanggung secara sendiri.

Jika tidak mahu menyumbang dalam bentuk wang ringgit, sumbangan promosi seperti menyebarkan maklumat tentang perisian kepada rakan-rakan, malah memanjang artikel ini kepada email rakan-rakan dapat membantu dan memperkembangkan perisian sumber terbuka yang bebas, percuma dan terbuka.

Terdapat beribu-ribu perisian dengan perlesenan sumber terbuka. Ia ditulis dalam pelbagai bahasa atucara sama ada C, C++, PHP, ASP, Java, VB dan pelbagai. Anda boleh mencarinya di http://www.sourceforge.net/

Diharapkan artikel ini dapat membuka mata bahawa terdapat pelbagai perisian yang bermutu boleh menjadi pengganti kepada perisian lesen beli. Perisian sumber terbuka yang bebas dan percuma. Sekiranya anda mahu, Windows XP sendiri boleh digantikan dengan sistem operasi Linux. Terdapat pelbagai distribusi boleh anda pilih mengikut selera anda. Antaranya adalah Ubuntu, OpenSuse dan Centos.

CD The OpenCD Project itu sendiri merupakan CD Linux Ubuntu yang boleh "boot" sewaktu anda membuka komputer. Bagi distribusi lain

OpenSuse http://www.opensuse.org/
Centos http://www.centos.org/
Senarai pelbagai distribusi Linux http://www.distrowatch.com/

Bagi anda yang terlibat dalam dunia IT selain Linux (seperti Centos) sebagai pengganti Windows 2000 dan Windows 2003 atau LongHorn , FreeBSD http://www.freebsd.org/ boleh menjadi komputer pelayan yang baik, bebas dan percuma. Artikel lain akan ditulis mengenainya.


Applikasi Percuma



Selain daripada perisian sumber terbuka terdapat beberapa perisian percuma (Free sofware) yang dirasakan sesuai untuk pengguna komputer Windows XP dan Vista.

AVG Anti virus


Percuma untuk pengguna di rumah, ia merupakan anti virus yang canggih dan mampu mengesan pelbagai jenis virus dan trojan. Malah kemas kini definasi adalah percuma. Lawat laman dibawah untuk muat turun

http://free.grisoft.com/

CCleaner


Perisian ini bertujuan untuk membersihkan Windows XP terutama registry daripada pelbagai sampah yang boleh menggugat kestabilan Windows XP anda. Disamping itu terdapat kemudahan pemadam jejak hasil penggunaan pelbagai perisian. Bagi Windows XP yang telah dibersihkan daripada jangkitan trojan dan virus, adakala terdapat ralat yang tidak hilang. CCleaner mungkin dapat membantu membersihkannya. Lawatlah lamannya di

http://www.ccleaner.com/

HDtune


Cakera keras masa kini dibangunkan dengan teknologi S.M.A.R.T bagi membolehkan keadaan cakera keras dikuti melalui perisian seperti HDTune. Dengan ini sebarang masalah kepada cakera keras dapat dikesan daripada awal dan pengguna dapat membuat penukaran awal dan menyalin data ke tempat lain.

Disamping itu dengan pengesan haba, suhu cakera keras dapat ketahui. Suhu yang tinggi seperti lebih 55 darjah Celcius boleh merosakkan cakera keras. Dengan perisian ini keadaan suhu yang tinggi boleh dikesan dan anda akan diberikan amaran.
Lawat laman dibawah untuk keterangan lanjut dan muat turun.

http://www.hdtune.com/

Google Desktop


Jika selama ini pelbagai dokumen dalambentuk HTML, DOC dan PDF disimpan di dalam cakera keras kita dan banyak masa kita terlupa dimana kita menyimpannya. Google Desktop merupa satu cara kita mencari pelbagai bahan yang kita simpan di dalam cakera keras. Dengan teknologi carian Google maka pelbagai maklumat boleh dicari dalam cakera keras kita.

Pelbagai muka laman yang penting boleh disimpan dalam cakera keras, pelbagai dokumen boleh disimpan untuk rujukan kemudian. Dengan Google Desktop simpanan ini boleh menjadi sumber rujukan tanpa talian (offline) yang menyenangkan. Sebagai contoh saya telah muat turun semua dokumen HOWTO dan panduan untuk Linux di http://www.tldp.org/ untuk kemudahan rujukan saya. Dengan Google Desktop ia umpama menggunakan Google di Internet untuk mencari maklumat.

Lawat lamannya di untuk muat turun.

http://desktop.google.com/


Google sendiri menyediakan satu kemudahan yang dipanggil Google Updater untuk muat turun perisian percuma yang disokong oleh Google. Terdapat pelbagai perisian penting untuk pengguna komputer. Sila lawat laman dibawah untuk keterangan lanjut.

http://pack.google.com/


Untuk mengikuti artikel-artikel lain sila sertai senarai email terhad di

http://groups.google.com/group/hafnie atau email kepada [email protected]

Wassalam.

Harisfazillah Jamel

http://www.harisfazillah.info/
http://www.geocities.com/lovhafnie/harisfazillah.html

Bukan Sekadar Internet Sahaja Nantikan kehadiran buku ini
dipasaran...

15 Dis 2006

Bukan Sekadar Internet Sahaja. Nantikan ia dipasaran ...


This work is licensed under the Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike 2.5 Malaysia License. To view a copy of this license, visit http://creativecommons.org/licenses/by-nc-sa/2.5/my/ or send a letter to Creative Commons, 543 Howard Street, 5th Floor, San Francisco, California, 94105, USA.